Ahad, 15 November 2015

KECELARUAN SOSIAL PUNCA KES BUANG BAYI MENINGKAT

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام اشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى اله

وصحبه اجمعين


KECELARUAN SOSIAL PUNCA KES BUANG BAYI MENINGKAT

Oleh Akhbar Satar bhnews@bh.com.my

NEGARA kita semakin maju. Negara berkembang pesat dalam semua aspek sama ada dari segi ekonomi, politik ataupun sosial, selaras dengan Wawasan 2020. Dalam kepesatan pembangunan fizikal itu, kita mengalami masalah sosial yang agak kronik, seperti pembuangan bayi. Kemelut pembuangan bayi semakin berleluasa. Keadaan ini amat membimbangkan. Baru-baru ini, polis menahan seorang wanita dipercayai ibu kepada bayi berusia sehari yang dibuang di dalam sebuah mesin basuh rumahnya di Kampung Ulu Dulang Kechil, Yan, Kedah. Hasil siasatan, suspek berusia 38 tahun itu mengaku melahirkan bayi berkenaan dalam bilik air di rumah berkenaan yang dikongsi bersama bapa mentuanya, tanpa pengetahuan suami serta bapa mentuanya. Bayangkan, ada juga yang membungkus mayat bayi dengan plastik, mencekik bayi sebelum ditanam, dibuang ke dalam mangkuk tandas, bahkan ada yang sanggup menanam bayi hidup-hidup. Mengikut ahli kriminologi, pengaruh rakan sebaya dan pergaulan bebas, suka sama suka, ingin mencuba seks, terlalu percayakan lelaki, terdedah aktiviti seksual secara berleluasa melalui jaringan internet, persekitaran tempat tinggal dan dirogol, antara sebab remaja terjebak dalam gejala pembuangan bayi. Punca keadaan sosial yang tidak teratur juga berkait rapat dengan hubungan renggang antara anak dan ibu bapa. Keadaan ini menjadikan remaja berani keluar rumah dan terbabit dengan aktiviti salah laku seksual sehingga hamil. Mereka kemudiannya mencari jalan mudah dengan membuang bayi yang dilahirkan akibat hubungan seks luar nikah.





Keruntuhan moral Keruntuhan moral remaja juga dipengaruhi cara hidup. Sering kali ia membabitkan remaja yang berasal dari kampung dan berhijrah ke bandar. Di bandar pula, kurang pengawasan dan kasih sayang ibu bapa juga mempengaruhi tingkah laku remaja. Ada juga remaja yang cukup didikan agama atau pelajar institusi pengajian tinggi yang terbabit dalam gejala pembuangan bayi. Oleh kerana takutkan dirinya atau bayi yang dilahirkan tidak diterima keluarga, serta pandangan serong dan cacian masyarakat, mereka mencari jalan mudah untuk membuang bayi mereka seperti sampah, dibuang di merata tempat, di masjid, surau, sungai, tong sampah, tepi jalan dan yang paling teruk di buang ke dalam mangkuk tandas tanpa sedikitpun rasa belas kasihan atau perikemanusiaan. Di Jerman, kerajaan menyediakan tempat khas sebagai pelindung kepada bayi yang dilahirkan akibat masalah sosial tadi. Tempat khas ini dikenali sebagai Babywiege, bertujuan mengelakkan bayi mati atau terbunuh akibat terdedah kepada kesejukan selepas dibuang. Undang-undang mereka juga membolehkan seorang bayi dijaga oleh hospital selama lapan minggu. Dalam tempoh dua bulan, seseorang ibu boleh mengambil semula anak yang mereka tinggalkan jika berubah fikiran. Selepas dua bulan barulah bayi itu, diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dijadikan anak angkat. Di negara kita, sebuah badan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-Anak Yatim Kuala Lumpur mewujudkan ruang khas Pelindung Bayi atau Baby Hatch di Kampung Tunku, Kuala Lumpur. Penyediaan ruang ini bagi membolehkan sesiapa yang terdesak meninggalkan bayi mereka di tempat selamat. Cara alternatif terbaik Ini adalah satu cara alternatif terbaik untuk sesiapa yang melahirkan anak luar nikah supaya tidak melakukan jenayah pembuangan bayi atau lebih sadis lagi, membunuh bayi mereka. Penempatan bayi di tempat perlindungan itu bagi membolehkan bayi yang dilahirkan, dijaga dan dapat diserahkan kepada keluarga angkat yang sesuai. Penyediaan tempat seperti ini tidak bermaksud untuk menggalakkan mereka membuat perlakuan yang bercanggah dengan tatasusila moral, tetapi bertujuan menyelesaikan masalah sosial yang berat, seperti pembuangan bayi yang seterusnya boleh mengakibatkan pembunuhan. Tempat seperti ini sebenarnya tidak perlu diwujudkan sekiranya kita mempunyai masyarakat yang bertanggungjawab. Lazimnya polis menyiasat kes pembuangan bayi mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Sekiranya didapati bersalah, seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali. Polis juga boleh menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang meletakkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Bagi kesalahan membunuh bayi, siasatan boleh dilakukan mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan. Seksyen 309B memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda. Disarankan supaya kerajaan mengkaji semula Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan supaya denda yang lebih berat dikenakan ke atas mereka yang bersalah. Ini perlu dilakukan supaya remaja akan berasa lebih takut dan serik untuk membuang bayi. Kabinet pernah memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan itu dikenakan hukuman berat. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun yang sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Hukuman lebih berat Hingga kini polis belum lagi menggunakan seksyen ini. Hukuman berat penting supaya mereka akan berhati-hati ketika bergaul dan mengelak hubungan yang melampaui batasan agama. Ini membolehkan mereka menghayati gaya hidup sihat dan kejadian mengandung tanpa nikah dan membuang bayi pasti dapat dielakkan. Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan pusat seperti Taman Seri Puteri Cheras yang memberi perlindungan dan pemulihan kepada remaja yang terbabit, tetapi apa yang masih kurang ialah publisitinya. Insitusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri dan masjid perlu memainkan peranan lebih aktif dan mencari jalan pencegahan serta penyelesaian holistik untuk mengelak berlakunya kes buang bayi atau menyekatnya daripada merebak sehingga tidak boleh dikawal lagi. Sebagai masyarakat Islam kita patut sama-sama mencari penyelesaian kepada masalah ini dengan memberi penekanan didikan agama yang sempurna kepada anak dan menjaga nasib bayi yang bakal dilahirkan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ini. Keluarga adalah pelindung utama dalam membina pembentukan sahsiah dan kesejahteraan psikologi dalam kalangan remaja. Pemantauan ibu bapa terhadap aktiviti anak perlu. Ibu bapa hendaklah meluangkan masa untuk anak. Di samping itu, bantuan pihak sekolah secara berterusan juga boleh membantu remaja yang terlanjur. Dua institusi ini, iaitu institusi keluarga dan sekolah begitu dekat dengan remaja dan jika kedua-duanya digembleng dengan rapi, ia dapat menyumbang kepada pengurangan kes remaja hamil luar nikah dan pembuangan bayi, bahkan pembunuhan yang tidak berdosa.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/95805

Ulasan :
Kes sosial seperti pembuangan bayi yang semakin berleuasa pada hari ini terutamanya dikalangan remaja hendaklah ditangani bersama. Melakukan zina sebelum akad nikah yang sah adalah merupakan dosa besar dalam Islam apatah lagi jika ditambah dengan dosa membuang atau membunuh anak yang  dilahirkan. Setiap anak yang dilahirkan mempunyai hak untuk mendapat perlindungan dan kasih sayang sebagaimana bayi-bayi yang lain. Semoga Allah sentiasa melindungi kita dan seluruh keluarga kita.
 

4 ulasan:

mak andak berkata...

Assalamualaikum, kupasan yang bernas. Semoga remaja kita remaja yang tinggi akhlaknya.

Salam hormat,
Asma Hj. Isa (GB02369)

L Ottomon berkata...

Salam,

Pemilihan Isu yang bagus, amat sesuai ia selalu diperingatkan kpd masy. kita yg kerap terlalai tentang "Hak Anak-anak kecil" ini untuk turut hidup dgn sempurna sepertimana bayi yang lain.

-Semoga suatu masa nanti akan wujud perubahan besar positif dlm kehidupan berakhlak

Ahmad Zailan Osman (GB02367)
16/11/2015 17:35

Mohammad Hasnol Bin Haji Abu Bakar berkata...

Assalamualykum wbmt..

Suatu ulasan yang berani..isu yang semakin membesar..impaknya ialah 10 tahun mendatang..

Hasilnya satu tindakan serius bersepadu semua pihak bersama khasnya yang pihak memiliki KUASA dan Ngos..

Teruskan usaha dakwah murni melalui penulisan..

mabrouk!

Mohd Noor Lee berkata...

Assalamualaikum Wrt Wbt

Satu kupasan isu yang amat menarik, berkaitan dengan masalah yang dihadapi masyarakat kini. Semoga kita sama-sama berusaha untuk membendung keruntuhan sosial di kalangan remaja yang amat meruncing. Kerana remaja merupakan pemangkin negara kita.

Teruskan memaparkan isu-isu menarik yang boleh dibincangkan.

Che Mohd Noor Lee (GB02387)